
26 Jun 2009
Tahniah kepada Firdaus Md Radzi

23 Jun 2009
Majlis Mengenang Jasa Ibu Bapa dan Guru
Tarikh : 25/06/09 (Khamis)
Masa : 8.00 malam
Pakaian : Baju Melayu Lengkap / Baju Kurung
Bayaran : RM10.00
Tempat : Rumah Persatuan Taman Melawati
No 132, Jalan H15, Taman Melawati
Kuala Lumpur, Malaysia
Semua ahli dijemput hadir.
Peta lokasi adalah seperti berikut:
View Larger Map
16 Jun 2009
Bahang Wajadiri 2009 Kian Terasa dan Sedikit Perbandingan
"Assalamu Alaikum kepada Penyelia/wakil kelas dan individu yang dihormati. Suka saya ingatkan tarikh akhir pembayaran penginapan (dalam group bagi IPT dan Sekolah) ke Wajadiri ialah 30 Jun 2009.
Pecahan pembayaran seperti berikut:
- Individu = RM 150
- IPT = RM 100
- Sekolah = RM 70
Pembayaran tersebut boleh terus kepada saya atau online kepada saya Bank Akaun CIMB
**** **** **** 3520 - ARIFABILLAH IDRIS
Mohon kerjasama tuan-tuan untuk memudahkan pengurusan bagi pihak pengurusan di Sarawak. Harap Maklum. Terima Kasih. Sebarkan.
-------------------------------------------------------------------------------------

Untuk maklumat mengenai tempat, tentatif program dan yang berkaitan dengan Wajadiri 2009 Sarawak, sila layari http://wajadiri2009.blogspot.com/ atau di link di sidebar.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Tiket penerbangan pada 14 - 16 Ogos 2009 masih boleh ditempah sama ada melalui Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) atau Air Asia.
Sekadar ingin berkongsi;Semalam (16 Jun 2009) saya bercadang untuk membuat tempahan ke Kuching, maka saya pun melayari laman web Malaysia Airlines dan dalam masa yang sama laman web Air Asia.
Maka saya pun memilih penerbangan pergi ke Kuching dari KL pada 14 Ogos dan pulang ke KL dari Kuching pada 16 Ogos.
Peranan Ulama Dalam Silat
Koleksi Artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Barangkali perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.
Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.
Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Silat Al-Mu’azat.
Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.
Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan ‘senjata’ qalam untuk mengajar umat Melayu dan senjata pedang untuk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.
Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah untuk mempertahankan Islam dan tanah air.
Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah;
- Silat menggunakan qalam/pena
- Silat kalam/lidah
- Silat menggunakan siasah/politik dan lain-lain termasuklah
- Silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cabang seni atau budaya.
Pelajaran Silat dalam Kerajaan Puntianak
Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip “Syair Kerajaan Puntianak”. Kerajaan Puntianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.
Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.
Syair Kerajaan Puntianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Puntianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Puntianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:
Setelah sudah berperi-peri,
Baginda berangkat lalu berdiri,
Panggilkan Mat Riayat suruh ke mari,
Serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,
Kepada baginda tunduk menyembah,
Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita,
Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,
Diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
Boleh dilihat usulnya badan,
Bagaimana di dalam contoh teladan,
Yang mana patut main di medan.
* Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam
Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.
Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggung jawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.
Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.
Transliterasi selengkapnya ialah:
“Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.
Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah satu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.
“Maka jika datang ia ke negeri Islam, maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang..” (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm.95)
Ulasan dan pandangan, daripada kalimat “Maka jika datang ia kepada negeri Islam..” dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani dengan peristiwa Amerika, menjajah Afghanistan dan Iraq.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas dari dijajah bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.
Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa “jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang..” berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu adalah bukan beragama Islam.
Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragam Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.
Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua glongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).
Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.
Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun sedemikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.
Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau “ Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia..”
Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya “dan ditaruhkan senjatanya” maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.
Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya “dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu”. Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan “ilmu silat” kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.
Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan ‘kekuatan dalaman’ atau ‘mental’ atau ‘rohani’. Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.
Wirid Pertahanan Diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani
Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa’id an-Nafi’ah fil Jihad fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani iaitu “Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Fi Sabilillah”, beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian iaitu:
- Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi “Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Fi Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.
- Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.
- Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
- Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Orang Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka itu.
Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Malaysia Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu “ Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala kejahatan dari seteru..” Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.
Mat Kilau adalah seorang pahlawan agung yang menentang penjajahan Inggeris
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada Bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H / 2003 M hlm. 96-98)
Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan Sheikh Abdus Samad al-Falimbani tersebut ada hubung kait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan iaitu:
- Belajar secara fizik di gelanggang
- Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya
- Menggabungkan pelajaran fizik dengan wirid
Kesimpulan dan Penutup
Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
Seni dan budaya dalam persilatan diajarkan dalam dua bentuk iaitu gerak fizik dan kerohanian.
Ilmu persilatan yang menggunakan wirid,hizib, doa dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.
Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi Sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.
Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.
Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.
** Dipetik dari ruangan Ulama Nusantara, kolum Agama, sisipan Mega, akhbar Utusan Malaysia, Isnin 15 Jun 2009 hlm. 12-13.
09 Jun 2009
Selamat Kembali
YM Tuan Guru yang pergi berseorangan tanpa ditemani keluarga pada umrah kali ini tiba di Balai Ketibaan kira-kira jam 5 petang diikuti oleh peserta umrah lain yang terdiri dari kalangan ahli dan keluarga.
Antara peserta rombongan umrah kali ke-5 bersama YM adalah:
1) Tuan Haji Yusaini Sidek (Abg Frankie) dan keluarga
2) Saudari Nur Syahirah bt Sapie - B/hari ACUM
3) Saudara Khairul Ariffin bin Rezo - Ahli ACUM
4) Saudara Nor Hilmi Husni - YDP SCH UiTM
5) Saudara Mohd Shahdan Idrus - Tenaga Pengajar SCH UiTM
Selamat kembali diucapkan kepada semua peserta dan diharapkan tuan-tuan dapat berkongsi pengalaman mengerjakan umrah kepada rakan2 lain sebagai pembakar semangat untuk sama-sama turut serta menyertai rombongan umrah YM Tuan Guru di masa hadapan..
*mohon maaf jika terdapat kesilapan pada ejaan nama.
Tahniah Sahran!
Tahniah kepada Sahran Ayop, dan kita doakan semoga perkahwinan beliau akan berbahagia ke akhir hayat.
08 Jun 2009
Laporan Kenduri Mas dan Wadi
1) Restoran Khalifah Sek. 3 - Isi Perut
2) Shell Batu Tiga - Isi Minyak
3) RnR Seremban - Buang Air
4) Shell Sagil (Kg.ku.huhu.)- Buang Air Lagik
Perjalanan keseluruhannya memakan masa hampir 3 jam untuk tiba di rumah pengantin (tak termasuk sebuah kereta peserta yang tersilap pilih jalan). Setibanya di Segamat pada lebih kurang pukul 2 p.m., kami terus menyerbu khemah makanan untuk mengisi perut yang berkeroncong sejak dari tadi walaupun tanpa dijemput oleh sesiapa.Apatah lagi setelah melihat Encik Kemek yang tiba lebih awal telah pun memulakan santapan,membuatkan kami bertambah-tambah berselera. Juadah yang keluarga Puan Azriyani sediakan tersangatlah sedap (Ada lauk kambing!).
Ngam2 kami selesai makan, pengantin pun sampai. Encik Hazawardi kelihatan segak dengan baju Melayu berwarna merah jambu lengkap bersamping serta keris dan bercapal biru putih CH. Biasalah kalau kahwin dengan wanita Johor, adat di 'Pow' sebelum dapat berjumpa pengantin perempuan tu perkara biasa. Puan Azriyani pula kelihatan tenang menanti di pelamin walaupun sesekali nampak gubra sikit.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi bersanding dan tepung tawar oleh keluarga dari kedua-dua belah mempelai. Sungguh secocok pengantin disandingkan bak pinang di belah dua puluh satu. Kemudian acara Makan Beradab diteruskan sebelum pengantin kemudiannya beramah-ramah mesra dengan para tetamu yang hadir termasuklah kami.
Sesi bergambar kemudian mengambil tempat, malangnya gambar2 berkenaan masih belum dikirimkan kepada saya.Kita akan update posting ini bila gambar2 telah diterima dari Encik Rob atau Encik Idqham. Op, terlupa pulak. Majlis turut diserikan dengan dendangan lagu dari Encik Razlan bertajuk Penghujung Rindu dan Kekasih Awal dan Akhir.
Satu2nya gambar dalam simpanan saya
Kami bertolak pulang kira2 jam 4.15 petang dan tiba di Shah Alam kira2 pukul 9.15 malam, satu perjalanan yang agak lama akibat kesesakan lebuhraya PLUS. Walau apapun, setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada pasangan Hazawardi dan Azriyani, semoga berbahagia ke akhir hayat!
05 Jun 2009
Walimatul Urus Kak Atie Ali
Beliau menjemput kawan2 yang berkesempatan ke Majlis Perkahwinan beliau di Pahang esok 6 Jun 2009. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi beliau di talian 0175073627.
*Sumber dari schuitmsainduk@yahoogroups
Abu Selamat Diijabkabulkan
Berita selanjutnya menyusul.
04 Jun 2009
Walimatul Urus Mas & Wadi



Nampak tak? Siape lagi kalau bukan Mas dengan Wadi yang bakal mengakhiri zaman bujang mereka hujung minggu ini (6-7 Jun). Kepada yang nak pergi, yok kita konvoi gi segamat, tmn sri jawa eh tmn sri waja 7 Jun ini. Sila kumpul di RP Seksyen 4 pagi 7 Jun jam 8 pagi. Kos perjalanan akan ditong-tong bersama.
Kenduri Kahwin Wan Mohd Shahrif (23.5) dan Khairool Izwan (24.5)

--------------------------------------------------------------------------------------
Esoknya pulak, 24 May, seorang lagi rakan kita iaitu Khairool Izwan Jamil a.k.a K-rool Besar melangsungkan majlis perkahwinan beliau di Taman Samudera, Batu Caves. K-rool yang kadang-kadang agak jauh sebab selalu belayar kelihatan sangat segak dalam persalinan pendekar berwarna Hijau Pucuk Pisang. Kenduri beliau turut dihadiri YM Tuan Guru dan saudara Jimi.

Turut kelihatan di majlis berkenaan selain Lan, Jas, Peyus, Kudap, Bai (kitorang gerak sekali) adalah Cik Syida bersama rakannya (istimewa?), Incik Idqham dan Isteri, Abg Roslan Manap dan keluarga dan...(sape lagi eh?)
Tahniah diucapkan kepada K-rool Besar dan Isteri, Semoga berbahagia sampai syurga..Macam biasa, gambar kenang-kenangan lain ada pada simpanan Ir. Peyuz selaku Jurufoto sukarela.
03 Jun 2009
Anda Dijemput Sebagai Penyumbang!
Bagi merancakkan lagi penulisan di Suara ACUM ini, tuan-tuan adalah dijemput untuk menyumbangkan apa-apa bentuk artikel sama ada berita terkini, ilmu, aktiviti-aktiviti,gambar-gambar dan juga video.Bagi menjayakan hasrat ini, tuan-tuan adalah diharapkan untuk mengirimkan kepada saya alamat e-mail tuan-tuan kepada saya di shafiqazwan21@yahoo.com. Satu e-mail validasi akan dihantar kepada tuan-tuan bagi tujuan pengesahan. Marilah kita bersama-sama rancakkan aktiviti di ruangan siber ini demi kemajuan pergerakan.
Hidup Cekak Hanafi!